Bercakap berdegar-degar kononnya ‘tahu segala benda’. Padahal sehingga hari ini pun DAP masih belum mampu menyelesaikan isu pemilihan partinya yang tidak sah pada Disember 2012. Atau pemilihan semula yang juga tidak sah pada September 2013.
Paparan 10 siri oleh wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL menyorot tindak tanduk percaturan DAP melalui Kit Siang dan Guan Eng dalam kemelut politik lepas dan semasa negara.
PAKATAN Lim Kit Siang dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan sahaja ibarat duri dalam daging kepada penyokong akar umbi DAP, bahkan merupakan salah satu punca keretakan orang Melayu.
Tindakan Penasihat DAP itu bersekongkol dengan Dr. Mahathir pada tanggapan ahlinya - DAP telah menggadai prinsip.
Ahli DAP termasuklah empat pemimpin DAP Melaka yang meninggalkan parti itu awal tahun ini mencerminkan kekecewaan mereka apabila pemimpin parti itu sendiri ibarat tidur sebantal dengan bekas musuhnya sejak sekian lama.
Kit Siang dan Dr. Mahathir adalah dua tokoh politik veteran yang digelar pencatur politik Machiaveli. Dr. Mahathir maklum kekuatan politik pemimpin supremo DAP itu. Demikian jugalah Kit Siang turut mengenali kekuatan politik bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu.
Rakyat Malaysia cukup menyedari herdikan Dr. Mahathir terhadap Kit Siang dan begitulah sebaliknya. Dr. Mahathir pada November 2013 melabelkan Kit Siang sebagai pemimpin gila kuasa yang tidak mahu bersara dalam bidang politik yang diceburinya sejak 1964.
“Pada 1964 saya jadi wakil rakyat (di Parlimen Kota Star Selatan, Kedah) dan Kit Siang pula menjadi Setiausaha Politik kepada Devan Nair (Ahli Parlimen PAP Bangsar). Kemudian setelah PAP tidak dapat aktif lagi di Malaysia, Kit Siang kemudian menubuhkan DAP dan menjadi ketuanya.
“Saya bersara 2003. Kit Siang belum bersara, masih ketua DAP dan menjadi wakil rakyat Gelang Patah. Bila Kit Siang akan bersara? Sampai matikah? Jika sudah bersara, nak jadi pemimpin kanan (senior leader) DAP kah?,” soal Dr. Mahathir.
Sebelum Pilihan Raya Umum 2013 (PRU-13), Dr. Mahathir turut berkempen di Johor untuk mengalahkan Kit Siang yang bertanding di Parlimen Gelang Patah.
“Lim Kit Siang mahu datang (bertanding) di sini. Saya minta rakyat Johor, semua kaum bergabung tenaga untuk pastikan Johor menjadi ‘kubur’ kepada Lim Kit Siang.
“Kita perlu memastikan dia (Kit Siang) kalah di Johor. Johor akan terus menjadi simpanan tetap BN,” katanya.
Pada majlis ‘Bicara Minda’ anjuran Pusat Khidmat Parlimen Pulai itu, Dr. Mahathir memulangkan paku buah keras terhadap Kit Siang yang mahukan rakyat ‘ubah’ dan ‘tukar’ kerajaan sedia ada yang dipimpin BN. Walhal sebenarnya pemimpin veteran DAP itu yang perlu berubah.
“Kita telah bertukar enam perdana menteri sejak kemerdekaan 1957, tetapi dia tidak berubah-ubah. Bagilah peluang pada anak dia atau cucu dia.”
Anak Kit Siang yang jawatan Setiausaha Agung parti belum disahkan, Lim Guan Eng sendiri mengaku terpaksa menjalin hubungan bersama Dr. Mahathir meskipun pernah menjadi musuh ketatnya.
Kata Guan Eng, dia secara dasarnya tidak berminat bekerjasama dengan Dr. Mahathir ekoran Kit Siang pernah disumbat ke penjara menerusi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di bawah pemerintahan bekas Perdana Menteri itu.
“Kalau dia (Kit Siang) tidak syok DAP bekerjasama dengan Dr. Mahathir, saya lagi tidak syok. Mengapa? Kerana sebenarnya ada orang tanya bagaimana saya boleh bekerjasama dengan Dr. Mahathir bila beliau tangkap Kit Siang dua kali.
“Saya jawab, betul, beliau tangkap bapa saya dua kali, tapi beliau bukan sahaja tangkap bapa saya, beliau juga tangkap saya dua kali. Anda ingat saya boleh lupakah?,” kata Guan Eng.
Kalau direnung-renungkan, kritikan-kritikan Dr. Mahathir terhadap pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi yang bermula pada 2005 telah diambil peluang oleh DAP untuk memecahbelahkan undi Cina. Impaknya sehingga mengakibatkan BN hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Dr. Mahathir sedar kunci undi Cina dalam menentukan kemenangan. Ini kerana beliau sendiri pernah tewas di Parlimen parlimen Kota Star Selatan pada PRU 1969. Kemunculan DAP sebagai kuasa politik terkuat dalam kalangan parti pembangkang pada PRU-12 dan PRU-13 dikatakan cerminan keupayaan parti itu dalam PRU 1969.
Sebagai kesinambungan perjuangan PAP (People Action Parti) yang kalah teruk dalam PRU 1964, DAP lebih lantang memperjuangkan isu-isu kepada kaum Cina.
Melalui organ DAP, The Rocket, Kit Siang mengecam sekeras-kerasnya MCA yang didakwanya mengikut telunjuk UMNO. Kit Siang juga menjadi penyambung lidah PAP apabila melaungkan dengan lantang konsep ‘Malaysian Malaysia’ iaitu satu konsep mengamalkan politik sama rata tanpa mengira kaum dan agama.
Kritikan terhadap Perkara 152 (kedudukan bahasa Melayu) dan 153 berkaitan hak istimewa orang Melayu-Bumiputera sebenarnya dipelopori Setiausaha Agung PAP, mendiang Lee Kuan Yew ketika Singapura berada dalam Malaysia.
Dari: UM.