Isunya mudah sahaja. Banyak orang bahkan menganggapnya sebagai remeh. Perkara mudah dan remeh inilah yang tambah menyerlahkan lagi sikap sebenar DAP ataupun jenis Melayu yang menganggotai parti berlambang roket itu.
Isunya hanya doa di pesawat yang dipertikaikan oleh pelobi DAP, Datuk Zaid Ibrahim. Bekas menteri yang menyertai PKR dan kemudiannya menubuhkan parti sendiri sebelum memilih bersama DAP, tidak bersetuju tindakan kapten AirAsia meminta penumpang berdoa semasa pesawat sedang menghadapi masalah.
Zaid pun kini nampak selesa dengan parti ini. Akhirnya beliau menemui jodoh politik yang barangkali dicari-carinya selama ini. Pandangan di luar kebiasaan daripada politikus yang seorang ini mengundang reaksi balas yang bukan sedikit.
Sindiran, kiasan bahkan label liberal digunakan untuk menyanggah pemikiran sebegitu. Daripada seteru politik terutama Pas sehingga agamawan memberi reaksi senada.
Rakan-rakan juruterbang dan profesional lain termasuk doktor yang turut disebut oleh Zaid juga menolak arus pemikiran berdasarkan akal sahaja ini.
Tetapi janganlah berangan-angan untuk mengembalikan pemikiran orang sebegini kepada pemikiran arus perdana. Tidak mudah malah tidak mungkin pun.
Yang selalu berlaku orang sebegini sebaliknya yang galak mempengaruhi orang lain. Mereka kumpulan minoriti tetapi begitu agresif memanfaatkan hak bersuara.
Suara mereka sentiasa kedengaran dan berada di permukaan.
Kehadapan dan sekarang ini pun pemikiran sebegini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita yang disebarkan secara meluas melalui media sosial.
Pandai-pandailah kita membuat tapisan.
Kita pun tak habis fikir bagaimana pada Ramadan lalu parti politik ini yang mengaku menjunjung Perlembagaan sanggup mengagungkan aktiviti berunsur tabu.
Mereka malah seakan bangga menaungi program Ramadan bersama kumpulan lesbian, gay, biseksual, transeksual (LGBT) di ibu kota.
Barangkali akibat totok dengan prinsip saksama dan sama rata akhirnya nilai-nilai murni yang dijunjung oleh masyarakat Malaysia dilanggar begitu sahaja.
Mereka tanpa silu telah mencabar kedudukan Malaysia yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi di dalam Perlembagaan.
Kebelakangan ini arus pemikiran sebegini nampaknya semakin menyerlah. Tiada lagi basa-basi. Mereka tidak lagi gentar menampilkan diri di ruang awam.
Bantahan
Benar, kumpulan keliru gender ini perlu disantuni tetapi bukan dengan cara mengagung-agungkan mereka.
Dibela bukan bermaksud membenarkan mereka sewenang-wenangnya menggunakan ruang awam untuk menyemarakkan kebebasan hak asasi manusia.
Jika mengikut program awal kumpulan ini bercadang untuk berarak pada awal Jun lalu, persis yang biasa kita lihat di negara Barat. Mujurlah program itu dibatalkan selepas mendapat bantahan banyak pihak. DAP dikaitkan dengan program ini kerana aktivisnya merupakan pimpinan Pemuda bahagian parti itu.
Tidak pula kedengaran bantahan daripada DAP apatah lagi parti sekutu, PAN mahupun PPBM yang mengaku tunjangnya Melayu dan Islam.
Di manakah suara mereka? Realitinya semakin jelas parti yang baharu muncul ini tidak akan mampu membela suara majoriti. Kepura-puraan kononnya mereka pembela Islam dan hak-hak Melayu seperti terkandung dalam Perlembagaan tidak lagi boleh disorokkan. Realitinya DAP, dalam apa jua keadaan begitu menguasai Pakatan Harapan.
Mereka hanya boleh berkata konon menjunjung prinsip sama rata tetapi yang ada di depan mata, semuanya perlu restu DAP terlebih dahulu.
Sebab itu, sehingga sekarang setelah berbulan-bulan berbincang belum ada kata putus tentang siapa yang akan dinamakan untuk menerajui Pakatan Harapan.
Maka diciptalah jawatan-jawatan yang pada mata umum kelihatan setara - Penasihat, Pengerusi, Presiden dan Ketua Umum.
Kini dalam keserabutan Pakatan Harapan, mereka berhajat pula untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran yang dijadual pada September depan.
Sebagaimana siri demonstrasi Bersih sebelum ini, tunjuk perasaan itu mempunyai matlamat sama yakni, menjatuhkan kerajaan.
Setelah gagal mengurus pakatan sendiri yang sepatutnya sudah didaftarkan dengan logo dan nama khusus, mereka mahu mengheret rakyat ke jalanan pula.
Ketaksuban kumpulan ini terhadap tunjuk perasaan di jalanan yang turut disertai oleh kumpulan anti Islam dan pluralisme seperti tidak dapat dibendung lagi.
Terlihat seperti ada skrip yang sudah tersedia mahu diulang tayang - kali ini menggunakan helah 1MDB. Maklumlah sebelum ini undi kepada BN menjunam 30 peratus gara-gara demonstrasi Bersih.
Tidakkah kita nampak apa kemampuan sebenar Pakatan Harapan diketuai DAP ini? Ya, mereka hanya mampu bersatu dalam hal menimbulkan kegemparan.
Hal kecil boleh dibesar-besarkan manakala hal besar yang mendasar diremehkan begitu sahaja. Hal asas yang sepatutnya mudah untuk diselesaikan pula terus tertangguh.
Jadi, tidakkah kita nampak keupayaan mereka? Yang jelas, belum ada sesuatu yang hebat dibina oleh mereka.
Yang terserlah, mereka hanya hebat dalam bab memusnahkan apa yang telah gah terbina selama ini.
Dari: UM.