Loading...
Loading...
PENERBIT drama popular, Datuk A Aida tetap dengan kenyataannya pelakon mesti berwajah cantik dan kacak jika mahu membawa watak hero dan heroin walaupun berdepan kritikan dan kecaman daripada penggiat seni dan netizen.
Aida, 49, atau nama sebenarnya Zaidah Awang berkata, kriteria itu sudah lama wujud dalam bidang penerbitan drama berdasarkan pengalamannya lebih 20 tahun dalam bidang itu.
Aida yang juga penerbit drama fenomena Andainya Takdir turut menyelar sikap individu dan peminat yang tidak faham konsep penerbitan drama tetapi hanya pandai mengkritik.
“Drama kita ada banyak genre. Begitu juga program yang ada dalam negara kita. Kenyataan sebelum ini saya bercakap atas platform DFKL (Drama Festival Kuala Lumpur) itu sendiri yang mana mencari bakat untuk diketengahkan dalam drama sekali gus mencari pelapis hero dan heroin.
“Siapa nak tengok drama jika pelakon utamanya tak cantik atau kacak? Sudah semestinya dalam drama mencari yang ada rupa. Dari situ, kita boleh gilap bakat mereka. Bukannya soal bakat itu diketepikan terus. Mereka yang menghentam membabi buta ini hanya pandai bercakap.
“Saya berikan contoh, jika program mencari pelawak, datanglah rupa dan penampilan macam mana pun, kalau mereka berbakat saya akan terima. Sebab program seumpama itu memang kena ada bakat,” katanya kepada Harian Metro.
Aida yang mengeluarkan kenyataan itu ketika menjadi juri sesi uji bakat DFKL 2019 baru-baru ini berdepan pelbagai kritikan daripada penggiat seni dan netizen.
Pelakon legenda, Ogy Ahmad Daud turut menyifatkan Aida tidak faham rukun lakonan selain dianggap biadap terhadap peserta uji bakat.
Selain Ogy, beberapa rakan artis lain juga tidak bersetuju dengan kenyataan dikeluarkan Aida. Malah, ada beranggapan Aida tidak sensitif selain menyifatkan kenyataan sebegitu tidak wajar.
Aida yang juga pengendali saluran di Unifi TV serta pembekal drama di beberapa saluran stesen TV utama berkata, kehendak penonton menjadi sandaran mereka.
“Saya sudah cukup berpengalaman dalam bidang ini. Saya sudah masak apa kehendak stesen TV. Malah, mereka juga membuat keputusan atas permintaan penonton. Kita sepatutnya terima hakikat. Berhenti daripada menyalahkan satu pihak saja. Perkara seperti ini bukan benda baru dalam penerbitan drama di negara kita,” katanya.
Dalam masa sama, Aida juga menafikan kenyataan dikeluarkan itu menghina ciptaan Allah SWT seperti yang disebarkan segelintir pihak.
“Mereka tidak tahu apa maksud sebenar saya. Terlalu cepat nak menghukum. Saya tidak menghina ciptaan Allah. Saya bercakap atas kapasiti sebagai juri dalam DFKL. Sudah lima tahun saya terbabit dalam program itu. Saya hanya menyuarakan perkara sebenar.
“Saya bukan jenis yang memberikan harapan palsu pada orang. Lebih baik saya berterus terang meski ia pahit ditelan. Saya siap cakap, kalau memang tidak ada rupa tapi berbakat, boleh cuba nasib untuk menjadi watak ‘extra’ dulu. Kalau ada rezeki, mungkin mereka boleh pergi jauh.
“Ada yang datang sudah lima kali sepanjang lima tahun DFKL ini. Dia berbakat dalam penulisan skrip. Saya akan bantu dia dalam bidang itu. Begitu juga dengan yang lain, saya minta mereka pergi uji bakat program yang mengutamakan bakat. Namun, dalam drama saya akan serap mereka untuk watak yang bersesuaian,” katanya.
Dalam pada itu, Aida berkata, kenyataannya itu turut dipersetujui rakan penerbit lain.
“Apabila saya bercakap perkara ini, orang nampak saya yang jahat. Apabila kenyataan saya disalah ertikan, mereka tidak bersetuju. Ini kerana, mereka juga bersependapat sama dengan saya,” katanya.
Sumber : harian metro
“Kalau tak cantik, siapa nak tengok drama? Jangan hipokritlah!” - A Aida turut sekat 500 netizen
PENERBIT Datuk A. Aida yang dihentam netizen dan rakan artis mempertahankan kenyataannya iaitu rupa paras sangat penting untuk seseorang menjadi pelakon kerana perkara itu adalah realiti kehidupan dan tuntutan masa kini.
Menurut A. Aida atau Zaidah Awang, 48, perkara itu tidak perlu dipertikaikan kerana industri lakonan era kini sememangnya memerlukan pelakon utama yang mempunyai rupa-paras menarik kerana ia adalah 'bisnes'.
"Itu adalah realiti kehidupan dan tuntutan masa kini. Kenapa nak pertikaikan. Selebriti yang menyelar kenyataan saya itu mungkin tak faham.
"Mereka kena terima hakikat dan jangan jadi hipokrit. Sebab sememangnya setiap drama semua menggunakan pelakon utama yang mempunyai wajah yang cantik dan tampan.
"Kalau tidak, siapa yang nak tengok drama tu? Bagi saya, bakat itu boleh digilap. Tapi rupa itu sangat penting untuk melariskan sesebuah drama," katanya kepada mStar Online.
A. Aida diminta mengulas mengenai komen beberapa pelakon yang tidak bersetuju dengan komennnya iaitu pelakon masa kini yang hadir ke sesebuah uji bakat perlu memahami bahawa paras-rupa menjadi pilihan utama untuk diambil sebagai pelakon.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika sesi uji bakat lakonan sempena Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL2019) pada minggu lalu.
Kata A. Aida, masih ada banyak lagi program yang disediakan untuk mempertengahkan bakat tanpa memikirkan soal rupa paras seseorang itu.
"Saya mengeluarkan kenyataan berkenaan rupa itu penting berdasarkan pencarian pelakon utama menerusi sesi uji bakat DFKL2019. Tak ada niat pun nak menghina ciptaan Tuhan.
"Kalau tanya fasal program lain seperti Bintang Mencari Bintang iaitu rancangan bakat yang tidak menkankan paras-rupa, memang saya akan memberi komen perihal mengenai kepentingan bakat la. Sebab program itu memang berdasarkan bakat.
"Ada sahaja peserta yang hadir di sesi uji bakat itu, saya suruh dia cuba menyertai program lain yang mempertengahkan bakat tanpa menekankan soal rupa," ujarnya.
Dalam pada itu, isteri kepada pelakon Ariff Aziz ini memberitahu dia tidak kisah dengan komen-komen netizen yang mengaitkan wajahnya.
Malah, dia sudah menyekat lebih 500 netizen di laman sosialnya kerana tidak mahu mempunyai pengikut yang negatif memberi komen.
"Saya tak kisah pun dengan komen-komen negatif negatif. Wajah saya tak ada kena mengena dengan kerjaya lakonan sebabnya saya bukan lagi pelakon tapi penerbit.
"Sejak semalam, saya dah sekat lebih 500 netizen di laman sosial yang meninggalkan komen negatif. Saya tak mahu dikelilingi dengan orang sebegitu," katanya.
Tambah A. Aida lagi, semua pihak harus faham dunia lakonan adalah sebuah bisnes dan stesen televisyen yang menyiarkan sesebuah drama itu mengharapkan ada periklanan dalam produk mereka.
Justeru, selain bakat lakonan, pihak stesen menekankan juga soal-rupa paras seseorang pelakon kerana ia boleh menarik jumlah tontonan atau rating yang seterusnya menyumbang kepada pendapatan iklan.
Jika rating baik, stesen mempunyai sumber pendapatan lebih dan hasil daripada itulah akan dibayar kepada sesebuah nsyarikat produksi.
"Ia adalah hakikat sebenar dunia lakonan di negara ini sekarang. Jangan la nak bandingkan dengan Hollywood atau Bollywood kerana mereka corak pemikiran penonton mereka berbeza dengan kita," ujarnya.
Sumber : mStar Online
Loading...