Loading...

Ustaz Taliban telah berkelana ke alam abadi

Loading...
Loading...

KETIKA kami sedang berehat di penjuru luar bangunan hotel, tiba-tiba kami dikejutkan dengan sebuah van yang berhenti mengejut dan keluar beberapa lelaki berbadan tegap yang mengacung senjata ke udara. Lelaki-lelaki yang berambut kemas itu mengepung kami dan memegang dengan kemas tangan Ustaz Azli Taliban, darah menyirap ke mukaku dengan sedikit ketakutan, sejujurnya aku amat takut. Jika di Kuala Lumpur aku dengan begitu gembira jika dikejar FRU dalam siri bantahan awam tetapi tidak di bumi asing ini. Kejadian ala drama rompakan bank itu sangat mendebarkan dan terpahat kekal dalam ingatan, kami ingin disumbat ke dalam kenderaan, seorang lelaki berpakaian preman memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan menunjukkan kad kuasanya. Kami agak panik kerana kejadian berlaku terlalu pantas dan semua orang menonton adegan itu dengan teruja sekali.

Ustaz Norazli Taliban dengan janggut yang panjang menjadi tarikan pesona terbesar pihak keselamatan Lubnan, kami diadu oleh satu pihak kononnya mencurigakan, apatah lagi dalam kondisi Beirut yang sedang darurat akibat kematian tokoh Kristian, Pierre Gemayel. Kami akhirnya dilepaskan apabila wakil HAMAS di Lubnan, Sheikh Ali Barokah tiba. Drama itu antara kenangan paling mengesankan antara aku dan Ustaz Taliban. Impaknya, aku meninggalkan dia jika ingin berlanglang buana ke negara Eropah, sehingga dia berkecil hati. "Enta tak payah ikutlah, nanti susah kat imigresen," tukas aku berbaur kesombongan. Kini aku menyesal seumur hidup yang masih berbaki, mengapa begitu keras meletakkan dia sebagai punca masalah di imigresen. Sebenarnya ada kes kami tersadung di lapangan terbang Damsyik belasan tahun lalu, "anta irhabi (awak pengganas)" tanya pegawai Imigresen Syria sambil melotot matanya. Jarang di tanah Arab lelaki janggut sepanjang itu, apatah lagi di negara bernuansa Sosialis Arabism.



Lebih dua dekad aku bersahabat dengannya, rumahku di Kuala Lumpur adalah tempat tidur baringnya saat dia masih menjadi penjawat awam di Perak. Kami ke pelbagai tempat dalam menunaikan misi bantuan kemanusiaan, dia lelaki sangkuriang yang tak gentar apa pun pun!. "Enta bawa duit ni, ana rasa tak sedaplah" aku memberikan alasan untuk tidak membawa wang sumbangan dalam jumlah besar di Pakistan belasan tahun dahulu. "Mai sini,, iskkk..penakut," katanya, dengan wajah agak sombong. Bahasa Urdunya yang pekat membolehkan aku berlanglang buana merata ke Kashmir dan Pakistan. Kedinginan yang menciut jasad sehingga minus 10, namun dia tetap bangun malam bertahajud dua jam sebelum subuh. Dia tak meninggalkan solat malam, dalam apa juga kondisi. Dalam khemah dengan pemanas separa berfungsi di pergunungan Balakot Pakistan, air matanya tumpah saat berdoa. "Ana faham apa yang kanak-kanak itu merintih, mereka lapar dan kesejukan....Allahu.....ana tak tahan dengan suara kanak-kanak yang lapa," terang Ustaz Taliban, rupanya memahami bahasa Urdhu mendera perasaan bapa yang penyayang itu.



Kami solat subuh di khemah khas mussola, dinginnya sehingga gigi berlaga atas dan bawah. Taliban menanggalkan baju panasnya dan menyarungkan pada seorang lelaki renta yang solat subuh bersama kami. Dia rela memilih cuaca dingin menikam jasadnya demi membantu orang lain!. Bersama petugas Jamiat Islami, bermakna kami berusrah setiap hari, aku mendiamkan diri dan membatu setiap kali usrah manakala Ustaz Azli Taliban dipilih untuk membaca al-Quran setiap kali pertemuan haraki bersama anggota rukun Jamiat Islami yang sangat piawai.

Kami beberapa kali menaiki kawasan pergunungan Kashmir, gempa bumi menelan ribuan nyawa. Dia sangat berlagak kerana kelebihannya menguasai bahasa dan budaya masyarakat sub kontinent, kepalanya turut bergeleng saat ralik bercerita dengan orang tempatan. Bahkan berjaya memborong pakaian untuk agihan pada mangsa-mangsa gempa bumi dengan harga yang murah. Menyeringai senyum jika diberi pula hadiah oleh peniaga, dia melurut janggut peniaga sambil acara tawar menawar berlangsung. Aku hanya membekap dada dan menarik nafas panjang melihat aksi Taliban.

Perangai gila-gila itulah yang mengikat ukhuwwah kami, dalam Dewan Pemuda PAS, Muslim Care Malaysia serta FORKAD (Front Bertindak Anti Murtad). Dia terpilih mewakili Malaysia untuk ke Gaza melalui jalan darat dan laut, aku memerhati guratan wajahnya di dada akhbar belasan tahun dahulu dengan segunung kecemburuan. Dia acah-acah hendak terjun daripada kapal apabila kerajaan Mesir tak membenarkan kapal berlabuh sehingga berlaku kekecohan, juga berbaring di atas jalan raya el-Arish Mesir apabila misi bantuan disekat pihak kerajaan Mesir. Gila!, tetapi itulah watak lelaki berhati emas itu. Tiada yang mustahil jika ada keazaman.

Dalam satu kenangan yang tak mampu aku lupakan ialah dalam acara unjuk rasa isu Palestin di Bandung belasan tahun dahulu. Aku dan rombongan disambut oleh almarhum Ustaz Taufik Ridho di kota dingin itu, vokalis nasyid terkenal itu juga menjemput aku dan Ustaz Azli memberikan wejangan sempena himpunan dan kami seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Namun esoknya terpampang di dada akhbar Indonesia, kami wakil "Majlis Mujahidin Malaysia" turut berucap. Allahu seperti sebuah gunung menghempap dada, itulah Taliban berucap berapi-api, aku menyalahkan Azli. "apa nasib kita kat airport nanti" aku meluahkan rasa bimbang dan guratan wajahnya tak bersalah sambil menyedut air minuman.

Dikejar pihak aparat keselamatan akibat demonstrasi serta ceramah tanpa permit kami lalui semasa memimpin dewan pemuda. Dia berulang alik menaiki bas ekspres Ipoh-KL pada zaman mudanya. Jasadnya boleh direbahkan di mana sahaja untuk melepaskan lelah. Hidupnya hanya untuk dakwah dan perjuangan, kerja gila-gila kadang tak masuk akal tahap pengorbanannya untuk menyebar risalah Islam.



Puluhan misi aku bersamanya didalam dan luar negara, menyambangi pulau dan hutan, menangis dan tertawa, termasuk bergaduh adik abang dan saling memaafkan. Aku Pengerusi Lujnah Kebajikan Pemuda dan dia Timbalan Pengerusi, kami melahirkan Muslim Care Malaysia, begitu juga dalam FORKAD. Dia akan kekal dalam ingatan kolektif kita semua, meninggal di bumi Madinah dan dalam doanya sentiasa memohon daripada Allah untuk mati syahid. Lima tahun lepas, usai pemakaman almarhum Ustaz Abu Bakar Chik di Terengganu, dia menggenggam tanganku erat, "kita bersama di dunia dan akhirat..moga kita mati syahid bersama." katanya lirih.

Damailah sahabat, kekandaku Ustaz Azli Taliban, mantan Ketua Dewan Pemuda Perak, mantan Exco DPPP, mantan AJK PAS Pusat. Kami semua menyaksikan dedikasi dan kesungguhanmu berjuang dan berdakwah tanpa lelah. Kami juga akan menyusulmu!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Pengerusi LESTARI.


MR :  Perjuangan ibarat mata rantai kita bukan yang memulakan dan kita juga bukan yang terakhir


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


-: Iklan Teks (hanya RM20 sebulan) :-
 Anda Perut BUNCIT, Usus Kotor, Berat Badan Berlebihan? KLIK SINI UNTUK DETOKS TUBUH ANDA
 Dapatkan MADU LEBAH ASLI Disini...Makanan Sunnah Terbaik. Beli Madu Online >>>>KLIK SINI<<<< Penghantaran PERCUMA Ke Seluruh Negara!
 πŸ”₯πŸ”₯πŸ’₯Cara mudah buat bisnes tanpa promosi sakan pada pelanggan, tapi pelanggan sendiri yang cari kita. Buat online je..πŸ’₯πŸ”₯πŸ”₯
 Dapatkan Vitamin C Harian Anda Disini >>>Klik Sini<<< Sebotol ada 100 tablet Harga RM60 sahaja.Penghantaran PERCUMA ke Seluruh Malaysia






............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram FacebookEmel kepada MRTwitterRSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Loading...