Loading...

Pengundi Tg Piai dahagakan perubahan, bukan janji kosong

Loading...
Loading...

TANJUNG PIAI: Penduduk tempatan di kawasan Parlimen Tanjung Piai rata-rata menuntut satu perubahan besar dan bukannya janji-janji manis ketika berkempen semasa waktu pilihan raya umum atau pilihan raya kecil.

Sentimen penduduk berdasarkan tinjaun FMT rata-rata mereka terutamanya pengundi Melayu kecewa dengan kerajaan semasa berikutan janji-janji manifesto semasa pilihan raya umum lalu tidak ditunaikan manakala kehidupan orang kampung dan nelayan pula semakin terhimpit.

Seorang penduduk tempatan, Jofri Abdul Rahim yang bekerja sebagai nelayan berkata kehidupan kelompok sepertinya semakin pupus akibat tiada penyelesaian daripada pihak kerajaan terdahulu dan masa ini dalam membela nasib mereka.

Jofri, 46, berkata di kawasan Tanjung Piai, mata pencarian mereka yang berasaskan ikan dan hasil laut semakin berkurangan sehingga menyukarkan mereka untuk mendapatkan hasil pendapatan.

“Kawasan nelayan semakin kecil, kos sara hidup semakin membebankan dan pemutihan dari kerajaan semasa juga menghimpit nelayan. Pemutihan bermaksud jika nelayan tidak turun ke laut, mereka sudah tidak dikategori nelayan.


Jofri.
“Tetapi kalau nak turun ke laut pun ikan tak ada, buat habis minyak sahaja. Masalah seperti pembinaan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang menjejaskan pencarian kami juga tidak diselesaikan lagi, sehingga sekarang jadi ini menyukarkan kami,” katanya kepada FMT.

Pilihan raya kecil Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Nov. Seramai 57% pengundi kawasan ini adalah Melayu, diikuti Cina (42%), dan India (1%).

Mengulas lanjut, Jofri berkata rata-rata penduduk Tanjung Piai tidak nampak perubahan dibawa kerajaan baru dan PPBM di sini.

“Harapankan ada Taman Negara Tanjung Piai dan Resort Golf di Kukup sahaja, yang lain apa ada pembangunan di sini. Nak pilihan raya baru banyak projek atau bantuan diberi.

“Tetapi sebelum itu, apa penduduk sini dapat? Kita tak nampak apa-apa yang membantu penduduk di sini,” katanya.

Berubah sentimen?
Sementara itu, Shamshudin Md Sairi, 48, berkata setakat ini selepas PH ambil alih kerajaan tidak nampak banyak perubahan yang ada di Tanjung Piai.

Beliau juga berkata rata-rata yang ghairah mengundi PH kerana mahu perubahan sudah berubah sentimen mereka sebab kecewa banyak janji manifesto tidak ditunaikan.

“Rakyat tidak minta banyak, seperti minyak, jika tidak boleh turun RM1.50, turun kepada RM1.80 pun turun OK. Ini dengar kata minyak nak naik lagi, rakyat kecewa.”

Seorang lagi penduduk tempatan, Anuar Abas, 46, pula berkata ada juga sentimen penduduk yang mengundi berdasarkan parti.

Bagi dia, tidak kira calon Melayu atau Cina akan menyokong parti pilihannya.



Sebahagian pemandangan kawasan Parlimen Tanjung Piai menjelang pilihan raya kecil yang bakal diadakan.

“Macam saya, BN letak calon Melayu ke Cina ke, saya akan pangkah mereka sebab dah dua tahun tak nampak apa-apa perubahan di Tanjung Piai,” katanya.

Dalam pada itu, rata-rata pengundi muda yang ditemui FMT di Tanjung Piai juga kecewa dengan janji-janji kepada anak muda yang tidak ditunaikan.

Seorang yang hanya ingin dikenali sebagai Shah, 24, berkata sekiranya PH kalah di Tanjung Piai, itu adalah signal penduduk di Tanjung Piai menolah mereka.

“Bagi saya pilihan raya kecil ini salah satu mesej menunjukkan suara rakyat. Contohnya jika bukan PH menang, maknanya rakyat hilang kepercayaan kepada PH dan nak kembalikan kepada BN,” katanya.


Shah.
Bagaimanapun, Shah berkata walaupun ada kebaikan, seperti strategi ekonomi dibawa kerajaan PH nampak baik, tetapi dari segi modal insan dan masalah kaum semakin kurang baik.

Seorang mahasiswa di Tanjung Piai, yang ingin dikenali sebagai Bahar, 24, kecewa golongan sepertinya dipinggirkan.

Bahar berkata banyak bantuan seperti baucer buku dan biasiswa untuk mahasiswa sudah tidak ada malah tidak nampak bantuan apa yang ada masa ini.

“Walaupun dulu tidak banyak tetapi sedikit sebanyak membantu mahasiswa di univeristi,” katanya.

Fatimah Rashid yang berusia 69 tahun menjangkakan mungkin ramai yang duduk jauh tidak akan keluar mengundi sebab sudah bosan dengan politik masa kini.

“Mungkin separuh turun, separuh tak turun. Yang jauh tak turun sebab mungkin ada yang agak PH akan menang dan mereka jadi malas nak turun undi.

“Tetapi pada saya peluang masih 50-50 di sini walaupun penduduk Melayu rata-rata menyokong BN,” katanya.

Kaum Cina anggap PH masih ada peluang
Sementara itu, penduduk tempatan yang hanya ingin dikenali sebagai Ang pula berpandangan sebaliknya dan berkata dia yakin PH boleh menang.


Ang.
Ang, 70, yang seorang ahli perniagaan di Kukup Laut berkata, kerajaan sekarang bagus, namun tidak menolak akan mendapat tentangan sengit daripada pembangkang.

“Pembangkang juga kuat di sini, jadi peluang 50-50. Namun PH ada kelebihan sikit sebab sudah jadi kerajaan, mungkin mereka boleh menang tetapi tipis,” katanya.

Seorang lagi penduduk tempatan yang hanya ingin dikenali sebagai Ah Seng, 50, berkata, PH dan MCA di sini dua-dua teruk dan berkata jika letak calon Umno tidak menolak mungkin akan menyokongnya.

“Masa undi mesti kita akan turun tetapi saya sebagai nelayan sini juga terbeban dengan kos sara hidup. Bayangkan air teh panas di kedai mamak pun sudah RM2.20. Kamu fikir sendiri lah.

“Lagi kami nelayan, kami juga ada masalah kami seperti masalah lesen dan sebagainya. Jadi kita mahu perubahan,” katanya.




............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram FacebookEmel kepada MRTwitterRSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Loading...