Loading...

PKPDB Di Penjara Alor Setar, Ini 5 Tumpuan Kenyataan Menteri Kanan Pertahanan Hari Ini | Hari ke-117 PKPP: Ditahan-433 Dikompaun-345 Direman-60 Dijamin-28 (1 Video)

Loading...
Loading...
                                               




5 perkara penting kenyataan media harian PKPP - 04 Oktober 2020 

PKPDB di Penjara Alor Setar, ini 5 tumpuan kenyataan Menteri Kanan Pertahanan hari ini
Astro Awani
4 Oktober 2020


KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memutuskan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran untuk kawasan Penjara Alor Setar, Kedah, susulan peningkatan kes COVID-19.

Berikut merupakan lima perkara penting Kenyataan Akhbar Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini:


1) Kerajaan laksana PKPDB di kawasan Penjara Alor Setar, Kedah, susulan peningkatan kes positif COVID-19

2) 433 individu ditahan atas kesalahan ingkar PKP. Daripada jumlah itu, 345 individu dikompaun, 60 direman, dan 28 dijamin.

3) Gagal memakai pelitup muka catat kes tertinggi iaitu 157, diikuti aktiviti kelab malam / pub (126), gagal sediakan rekod butiran diri (49), aktiviti perjudian (36), menggaji pekerja asing tanpa permit sah (18).

4) 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang penyeludup ditahan dalam Op Benteng, 27 PATI didapati cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.

5) Sejak 24 Julai sehingga 3 Oktober 2020, seramai 40,607 individu telah pulang ke tanah
air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Source: Astro Awani


COVID-19: Kerajaan laksana PKPDB di kawasan Penjara Alor Setar


PUTRAJAYA : Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) Secara Pentadbiran di kawasan Penjara Alor Setar selama 14 hari, bermula 12.01 tengah malam ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini berkata, pelaksanaan itu susulan peningkatan kes COVID-19 di kawasan berkenaan.

Dalam kenyataan itu, Ismail Sabri berkata, PKPDB secara pentadbiran itu turut meliputi kuarters kakitangan penjara.

Pelaksanaan PKPDB, katanya lagi, bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 dalam kawasan tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.

Sepanjang tempoh itu juga, Ismail Sabri berkata, sebarang pergerakan keluar dan masuk melibatkan kawasan itu, termasuk lawatan oleh keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Taskforce Ops Pematuhan semalam menyaksikan 433 individu ditahan kerana ingkar PKP.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, 345 individu telah dikompaun, 60 direman dan 28 dijamin.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (157), aktiviti dalam pub/kelab malam (126), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (49), penjarakan fizikal (46), aktiviti perjudian (36), menggaji warga asing tanpa permit yang sah (18), serta tangkapan pendatang asing tanpa izin (1).

Mengenai kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata, Op Benteng telah berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 1 penyeludup.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, pasukan ATM Rejimen Pertama Kor Armor Diraja berjaya menahan 27 PATI atas kesalahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, serta cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan di sekitar Hotel Tiara, Desaru, Bandar Penawar, Johor.

Berkenaan kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata, sehingga 3 Oktober 2020, seramai 40,607 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, seramai 9,138 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 106 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Source: Astro Awani









Loading...