Loading...

Polis Serbu Premis Cipta Aplikasi Judi Dalam Talian

Loading...
Loading...

Polis serbu premis cipta aplikasi judi dalam talian
BERNAMA
02/10/2020 11:10 PM


PETALING JAYA, 2 Oktober -- Sebuah syarikat perisian yang mencipta aplikasi perjudian dalam talian untuk pasaran luar negara berjaya ditumpaskan polis dalam serbuan di sini hari ini.

Serbuan kira-kira 6.30 petang di Jalan Professor Khoo Kay Kim itu hasil maklumat dan risikan pasukan Bahagian Kongsi Gelap/Judi/Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata seramai 40 orang warga tempatan ditahan termasuk seorang lelaki berperanan sebagai pengendali dan dua pengurus berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

"Siasatan awal mendapati syarikat ini mencipta aplikasi untuk perjudian dalam talian bagi pelanggan di negara jiran.

"Kami dapati lebih 500 aplikasi judi dalam talian dicipta sindiket ini yang telah beroperasi sejak dua tahun lepas," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan, malam ini.

Beliau berkata siasatan mendapati keuntungan yang diperolehi sindiket itu kira-kira US$40,000 (RM160,000) sebulan dan transaksi dilakukan menerusi tujuh bank di negara jiran.

"Mereka (sindiket) ini akan mempromosikan aplikasi yang dicipta kepada pelanggan di negara jiran menerusi laman sosial dan kiriman khidmat pesanan ringkas.

“Ini adalah serbuan pertama membabitkan sindiket yang mencipta aplikasi permainan judi dan turut menjalankan kegiatan perjudian dalam talian," katanya.

Beliau berkata kesemua mereka akan direman esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Jenayah Komputer 1997.


-- BERNAMA
Loading...