Loading...

UiTM nafi halau pelajar mendaftar - Naib Canselor selepas Twitter dibanjiri bantuan kepada pelajar terkandas #SiswaJagaSiswa

Loading...
Loading...



UiTM nafi halau pelajar mendaftar - Naib Canselor

02/10/2020 11:33 PM



KUALA LUMPUR, 2 Okt -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) menafikan kenyataan yang mendakwa institusi pengajian tinggi awam itu telah menghalau pelajar susulan penangguhan pendaftaran secara fizikal yang berkuat kuasa hari ini.

Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan kekeliruan yang berlaku adalah disebabkan salah faham berikutan sumber yang tidak tepat diperoleh para pelajar.

Menurutnya, UiTM telah mengeluarkan surat pekeliling berhubung arahan penangguhan pendaftaran para pelajar yang jelas menyatakan bahawa penangguhan itu dibuat semata-mata untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan para pelajar terpelihara.



“Meskipun penangguhan pendaftaran secara fizikal dikuatkuasakan, ini tidak bermakna para pelajar yang mendaftar akan dihalau malah para pelajar diberi pilihan sama ada untuk pulang atau tinggal di kolej.

Jadi, saya tegas menafikan kenyataan yang mengatakan bahawa kita menghalau para pelajar seperti yang didakwa. Malahan kita mendekati para pelajar yang telah mendaftar lebih awal untuk membantu mereka susulan arahan penangguhan ini,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Azraai berkata pihak universiti akan menjalankan siasatan terperinci berhubung aduan dan rungutan pelajar yang tular di media sosial bagi memastikan perkara itu tidak berlaku.


“UiTM tidak akan mengambil mudah dengan sebarang isu yang dibangkitkan kerana dalam suasana semasa, kita amat memahami sebarang kemungkinan, kesulitan dan kekeliruan yang timbul,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pelajar yang berhadapan dengan masalah seperti yang telah berada di kampus yang ingin pulang dan tidak pasti apa yang hendak dibuat supaya berhubung dengan bilik gerakan di kampus masing-masing bagi mendapat bantuan sewajarnya.

Menyentuh isu yang mendakwa UiTM tidak menanggung segala kos penginapan para pelajar sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, beliau berkata kenyataan tersebut bukan kenyataan rasmi UiTM.


-- BERNAMA

SiswaJagaSiswa: Twitter dibanjiri bantuan kepada pelajar terkandas

Astro Awani
#SiswaJagaSiswa: Twitter dibanjiri bantuan kepada pelajar terkandas
Antara pelajar yang diarahkan pulang berikutan penutupan IPT ketika pelaksanaan PKP pada Mac lalu. -Gambar fail
PENINGKATAN kes pandemik COVID-19 sejak kebelakangan ini amat merisaukan semua pihak sekali gus mengundang pelbagai reaksi.
Ketika rakyat baru sahaja bangkit daripada kesan awal pandemik enam bulan lalu, kini mereka dihambat kembali duka yang hampir sama.
Antara yang terkesan ialah kalangan penuntut institusi pendidikan tinggi (IPT) yang terkandas di pusat pengajian masing-masing.
Ia ekoran arahan penangguhan pendaftaran secara fizikal bagi pelajar baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini.
Susulan pengumuman itu, beberapa penuntut IPT dilaporkan tidak dapat pulang ke rumah, malah tidak tahu mana hendak dituju, antaranya disebabkan masalah kewangan.
Namun, segala kepayahan itu mendapat perhatian kalangan masyarakat dari seluruh negara yang bangkit untuk membantu rakan pelajar yang terjejas.
Tampil dengan hashtag #SiswaJagaSiswa, laman media sosial Twitter dibanjiri tawaran bantuan daripada anggota masyarakat serta kalangan siswa yang menawarkan, antaranya tempat tinggal sementara, makanan dan tidak kurang juga wang ringgit.
Berikut antara tweet #SiswaJagaSiswa khusus buat pelajar yang terjejas:
Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin akan nasib pelajar yang terkandas.
Bantuan anda amat dihargai ketika mana negara sedang berperang dengan COVID-19.
Loading...