Setiap daerah di Indonesia memiliki tradisi tersendiri dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri atau lebaran.
Berikut tradisi unik yang diraikan penduduk Indonesia .
Meugang (Aceh)
Meugang adalah tradisi memasak daging secara besar-besaran yang kemudian masakan itu akan dinikmati bersama keluarga, selain dibahagikan kepada jiran tetangga dan anak yatim piatu. Tradisi ini dilakukan secara berkelompok dengan menyembelih kambing atau lembu. Biasanya penduduk akan berkumpul di masjid untuk melakukan tradisi ini bersama.
Ronjok Sayak (Bengkulu)
Ronjok Sayak atau Bakar Gunung Api adalah tradisi yang sudah dilakukan sejak ratusan tahun lalu oleh suku Serawai.
Suku Serawai akan menyusun sabut kelapa sehingga menjulang tinggi ke atas, kemudian dibakar di hadapan rumah. Tradisi ini dilakukan setelah solat isyak.
Pukul Sapu (Maluku Tengah)
Tradisi ini dilakukan penduduk kampung Morella dan kampung Mamala, mukim Leihitu, Maluku Tengah. Penduduk akan berkumpul di halaman Masjid Besar pada hari ketujuh lebaran bagi menyaksikan tradisi Pukul Sapu yang biasanya dilakukan wakil penduduk lelaki dari kampung terbabit. Melalui tradisi itu, beberapa lelaki yang mewakili kampung masing-masing akan saling menyebat antara satu sama lain dengan menggunakan lidi dari pohon enau. Pukul Sapu dilakukan selama kira-kira 30 minit dan biasanya sehingga mengakibatkan kulit peserta calar dan berdarah.
Festival Meriam Karbit (Pontianak)
Festival meriam karbit adalah sebuah festival yang diadakan di Kalimantan Barat. Festival itu diraikan pada malam raya iaitu saat takbir raya mula berkumandang bagi menyambut Aidilfitri. Meriam bersaiz besar yang diperbuat daripada buluh diletakkan sepanjang tebing Sungai Kapuas dan kemudian dinyalakan serentak.
Batobo (Riau)
Lebaran dan tradisi anak rantau pulang ke kampung tidak dapat dipisahkan. Justeru itu, penduduk di Kampar, Riau, meraikan kepulangan anak rantau melalui tradisi Batobo yang masih dilestarikan sehingga sekarang. Sebaik sahaja anak rantau tiba di kampung, mereka akan disambut dan diarak menggunakan rebana menuju ke tempat berbuka.
Ngejot (Bali)
Menjelang lebaran, penduduk Islam di Bali berbangga dengan tradisi Ngejot. Dalam tradisi ini, mereka akan membahagikan makanan, kuih dan buah-buahan kepada semua penduduk tanpa mengira agama yang dianuti. Makanan itu akan dibahagikan kepada sahabat handai dan penduduk yang tinggal di pemukiman sekitarnya. Tradisi dan budaya itu sehingga sekarang masih tetap lestari sama ada di kampung atau kota.
Perang Topat (Lombok)
Perang Topat bererti perang ketupat yang dilakukan pada hari keenam lebaran. Tradisi itu dilakukan oleh suku Sasak yang merupakan suku asli di Lombok. Dalam tradisi itu, umat Islam dan penganut Hindu saling membaling ketupat antara satu sama lain. Acara itu biasanya dilakukan di Kompleks Pura Lingsar, daerah Lombok Barat. Aksi saling membaling ketupat berukuran mini ini menjadi simbol bagaimana menjaga kerukunan umat beragama di kepulauan itu.
Grebeg Syawal (Yogyakarta)
Tradisi lebaran ini dikenali Grebeg Syawal. Upacara adat keraton Ngayogyakarta Hadiningrat ini diadakan pada setiap 1 Syawal dan biasanya dilangsungkan di sekitar Alun-alun Utara Keraton Yogyakarta selepas solat sunat Aidilfitri. Tradisi Grebeg Syawal merupakan simbol sedekah dan sikap dermawan sultan kepada rakyatnya. Acara utamanya adalah pelepasan Gunungan Lanang yang kemudian direbut oleh masyarakat. Sebelum itu, Gunungan Lanang terlebih dahulu diarak dari Pagelaran Keraton Yogyakarta menuju halaman Masjid Agung Kauman untuk didoakan. Perarakan khas keraton ini menjadi daya tarikan tradisi dalam upacara Grebeg Syawal.
Bedulang (Bangka)
Setelah saling bermaafan pada pagi Aidilfitri, penduduk akan meneruskan tradisi unik iaitu mengukuhkan silaturahim dengan keluarga dan sanak saudara. Menerusi tradisi yang dinamakan makan Begawa ini, seluruh anggota keluarga akan makan bersama. Uniknya, hidangan yang disajikan ditutup dengan tudung saji sehinggakan tradisi itu juga disebut sebagai makan Bedulang.