
Kenyataan Akhbar KPK 19 September 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia
STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 51 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,315 kes (91.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA
Sehingga 19 September 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 20 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,167 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 722 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
Ingin dimaklumkan daripada 20 kes baharu yang dilaporkan, tiga (3) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua (2) warganegara dan satu (1) bukan warganegara dari negara:
- New Zealand (1 kes di Selangor];
- Qatar (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); dan
- India (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur).
Daripada 17 kes penularan di dalam negara, 14 kes adalah warganegara Malaysia dan tiga (3) kes adalah bukan warganegara. Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara adalah seperti berikut:
- Kedah: Sembilan (9) kes
- Lapan (8) kes daripada Kluster Sungai; dan
- Satu (1) kes Severe Acute Respiratory Illness (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah.
- Sabah: Lapan (8) kes
- Tiga (3) kes saringan rujukan ke Hospital Tawau dari Hospital Semporna yang melibatkan dua (2) bukan warganegara;
- Satu (1) kes Severe Acute Respiratory Illness (SARI) di Hospital Tawau;
- Satu (1) kes saringan pra pembedahan di Hospital Keningau;
- Satu (1) kes saringan komuniti di Tawau;
- Satu (1) kes daripada Kluster Benteng LD; dan
- Satu (1) kes daripada Kluster Bakau yang melibatkan bukan warganegara, iaitu kluster baharu di Semporna.
Kesemua kluster ini akan diperincikan di bawah.
Sehingga kini, terdapat 12 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua (2) kes memerlukan bantuan pernafasan.
Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu (1) kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 130 kes (1.28 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):
- Kes kematian ke-130 (kes ke-9578) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 82 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit strok serta sukar bergerak sendiri sejak Mac 2020 akibat patah tulang utama di kaki. Beliau mengalami gejala demam pada 4 September 2020 namun tidak mendapatkan rawatan. Pada 7 September 2020, beliau telah dikesan sebagai kontak rapat kepada anak dan cucu beliau yang merupakan kes positif dalam Kluster Sungai (iaitu kes ke-9458 dan kes ke-9547), lalu dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Saringan COVID-19 didapati positif pada 9 September 2020. Keadaan beliau didapati merosot dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Beliau disahkan meninggal dunia pada 18 September 2020 jam 5.45 petang.
KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau.
KLUSTER BAKAU
KKM ingin memaklumkan bahawa satu kluster baharu telah dikenalpasti di Semporna, Sabah. Kes indeks kluster ini adalah seorang perempuan warganegara Filipina (iaitu kes ke-10145) yang merupakan kes kematian ke-129 yang telah dilaporkan pada 18 September 2020. Saringan COVID-19 kes indeks didapati positif pada 16 September 2020. Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan dua (2) lagi kes positif COVID-19 bagi Kluster Bakau dikenalpasti. Dua kes positif ini melibatkan satu (1) warganegara Malaysia dan satu (1) bukan warganegara Filipina. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.
Sehingga 19 September 2020, 12 tengah hari, sejumlah 109 individu telah disaring. Keputusan saringan adalah seperti berikut:
- Tiga (3) dikesan positif COVID-19; dan
- 106 individu menunggu keputusan.
Langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan telah dijalankan di Hospital Semporna. Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan.
STATUS TERKINI KLUSTER SUNGAI DAN KLUSTER BENTENG LD
Kluster Sungai
Terdapat lapan (8) kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Sungai pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 73 kes. Sehingga 19 September 2020 jam 12 tengah hari, sejumlah 23,935 individu telah disaring dalam kluster ini. Pecahan jumlah saringan adalah seperti berikut:
- Kedah (23,748 disaring):
- 72 kes dikesan positif COVID-19 (8 kes baharu);
- 22,944 individu negatif; dan
- 732 individu menunggu keputusan.
- Pulau Pinang (142 disaring):
- 141 individu negatif; dan
- Satu (1) individu menunggu keputusan.
- Perlis (45 disaring):
- Satu (1) kes dikesan positif COVID-19;
- 28 individu negatif; dan
- 16 individu menunggu keputusan.
Kluster Benteng LD
Terdapat satu (1) kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Benteng LD pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 551 kes. Sehingga 19 September 2020 jam 12 tengah hari, sejumlah 7,985 individu telah disaring dalam kluster ini. Pecahan jumlah saringan mengikut daerah adalah seperti berikut:
- Tawau (5,975 disaring);
- 399 kes dikesan positif COVID-19 (1 kes baharu);
- 4,120 individu negatif; dan
- 1,456 individu menunggu keputusan.
- Lahad Datu (2,009 disaring):
- 151 kes dikesan positif COVID-19;
- 1,306 individu negatif; dan
- 552 individu menunggu keputusan.
- Sandakan (1 disaring): Satu (1) kes dikesan positif COVID-19.
Berdasarkan keseluruhan saringan bagi kluster ini, pecahan saringan melibatkan:
- 1,520 banduan dan tahanan di mana 458 kes dikesan positif COVID-19;
- 1,158 kakitangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lahad Datu dan Penjara Tawau di mana 20 kes dikesan positif COVID-19;
- 1,391 ahli keluarga kepada kakitangan, banduan dan tahanan di mana 23 kes dikesan positif COVID-19;
- 1,036 pegawai agensi kerajaan lain di mana satu (1) kes dikesan positif COVID-19; dan
- 2,880 kontak sosial di mana 49 kes dikesan positif COVID-19.
Daripada jumlah 551 kes positif COVID-19, 272 adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala 279 adalah bukan warganegara yang melibatkan negara:
- Filipina (185 kes); dan
- Indonesia (94 kes).
Ingin dimaklumkan bahawa jumlah kes akan sentiasa dikemaskini dan kategori bagi kes positif mungkin akan berubah bergantung kepada maklumat terkini hasil siasatan di lapangan.
Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) bagi kluster-kluster ini masih diteruskan dan status terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan. Jadikanlah nasihat-nasihat ini satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian:
- Elakkan 3S / 3C : iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
- Amalkan 3W : iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
- Elakkan bersalaman / bersentuhan termasuk melagakan mana-mana bahagian tubuh badan sebagai menggantikan cara kebiasaan bersalam;
- Amalkan etika batuk dan bersin;
- Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
- Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
- Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.
Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu iaitu:
- S : Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
- O : Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
- P : Penjarakan fizikal (physical distancing) sekurang-kurangnya 1 meter diamalkan pada setiap masa.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
19 September 2020 @ 5.00 petang.
BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA
(SEHINGGA 19 SEPTEMBER 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)
| NEGERI | BILANGAN KES BAHARU *( ) | BILANGAN KES KUMULATIF |
| W.P. KUALA LUMPUR | 2 (2) | 2,627 |
| SELANGOR | 1 (1) | 2,206 |
| NEGERI SEMBILAN | 0 | 1,044 |
| SABAH | 8 | 1,044 |
| JOHOR | 0 | 752 |
| SARAWAK | 0 | 701 |
| PAHANG | 0 | 371 |
| KEDAH | 9 | 321 |
| PERAK | 0 | 269 |
| MELAKA | 0 | 262 |
| KELANTAN | 0 | 160 |
| PULAU PINANG | 0 | 141 |
| TERENGGANU | 0 | 114 |
| W.P. PUTRAJAYA | 0 | 99 |
| PERLIS | 0 | 33 |
| W.P. LABUAN | 0 | 23 |
| JUMLAH KESELURUHAN | 20 (3) | 10,167 |
*( ) adalah merujuk kepada kes-kes import

SARI