Loading...
Loading...
Penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) |
Proses pemberian vaksin di PPV MITEC lancar, selesa
BERNAMA
KUALA LUMPUR, 31 Mei -- Penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini yang mula beroperasi hari ini, berpuas hati dengan kelancaran dan kemudahan disediakan.
Penerima vaksin warga emas, golongan kurang upaya dan golongan berpenyakit kronik yang diberi keutamaan dalam Fasa Kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan semasa ditemui hari ini, rata-rata menyuarakan kegembiraan dan berpuas hari dengan proses vaksinasi di sini.
Penerima vaksin dos pertama Asrida Daud, 70, berkata kemudahan di PPV MITEC seperti lif dan kerusi roda yang disediakan sangat membantu selain proses vaksinasi yang lancar.
"Saya tak larat berdiri atau jalan jauh jadi anak saya guna kerusi roda yang ada di sini untuk bawa saya (dengan) lebih senang.
"Proses pun cepat saya cuma tunjuk janji temu dekat (aplikasi) MySejahtera dan petugas akan bawa ke tempat vaksin," katanya.
Penerima vaksin dos kedua Foo Gim Suat, 85, yang juga ditemani anaknya berkata beliau gembira dapat melengkapkan dos kedua vaksin COVID-19 hari ini dengan selesa.
"Keadaan di sini tenang dan terkawal sebab di sini dewan lebih luas, petugas juga banyak bantu untuk tunjuk arah dan proses ke tempat vaksin, saya lebih selesa," katanya.
Nor Fadzilah Talib, 31, penjaga kepada Imran Philip, 85, yang menerima dos kedua vaksin COVID-19 di sini berkata keadaan di PPV ini lebih kondusif dan selesa buat penerima vaksin terutama warga emas serta pengguna kerusi roda.
"Ini dos kedua, sebelum ini terima vaksin dekat PPV Dewan Komuniti Manjalara dan proses di sini lebih cepat, masa menunggu lebih kurang 30 minit sahaja dan kita tak berpanas," katanya.
Kapasiti semasa penerima vaksin di PPV yang mula beroperasi hari ini dari 8 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Jumaat ini adalah 2,400 sehingga 2,800 orang sehari.
PPV MITEC akan mula beroperasi secara skala besar dengan kapasiti sehingga 8,000 penerima vaksin sehari bermula 7 Jun.
Pendaftaran untuk vaksinasi boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera atau melayari https://ift.tt/3bUCnow atau menghubungi 1800-888-828 untuk mendaftar.
Suasana di PPV @MITEC_MY yang mula beroperasi hari ini (31 Mei) melibatkan golongan Fasa 2 PICK. pic.twitter.com/u9NxvDj6pM
— Vaksin COVID-19 🇲🇾 (@JKJAVMY) May 31, 2021
Loading...