Loading...

Uncle 73 Tahun Yang Saja Meninjau PPV Gembira Dapat Suntikan Vaksin Walaupun Belum Berdaftar

Loading...
Loading...
Warga emas Yau Pak Chee, 73, meninjau-ninjau apa yang sedang berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia di sini

Warga emas gembira dapat suntikan vaksin, tanpa telefon pintar, komputer atau internet

BERNAMA

IPOH, 3 Jun -- Tidak lama selepas warga emas Yau Pak Chee, 73, meninjau-ninjau apa yang sedang berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia di sini, beliau mendapat berita gembira - waktu untuk suntikan vaksin.

Siapa sangka, baru petang semalam beliau memberanikan diri untuk bertanya kepada petugas kesihatan cara mendapatkan vaksin selepas kerap menonton Bernama TV mengenai kepentingan mengambil vaksin demi kesihatan semua pihak dalam melawan pandemik COVID-19.

“Saya tiada telefon pintar, tiada komputer riba, tiada Internet. Semua yang orang muda ada, saya tiada, tapi saya tetap mahu vaksin. ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ itu hari-hari saya hafal. Jadi mesti dapatkan vaksin," katanya ketika ditemui Bernama.

Kisah “Uncle Pak Chee” ini mendapat perhatian Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak Suraya Baharudin yang kebetulan berada di PPV, lantas menguruskan pendaftarannya selepas memeriksa kelayakan warga emas itu, dan tidak lama kemudian warga emas itu diberikan suntikan dos pertama Sinovac.

“Saya tiada rasa sakit, saya rasa lega, saya ‘happy’. Orang di luar sana, jangan takut angkat (ambil) vaksin, tiada apa-apa, saya sudah angkat,” katanya yang teruja selepas proses suntikan vaksin itu selesai dan akan diberikan dos kedua pada 23 Jun ini.

Uncle Pak Chee yang kini menyara dua abangnya berusia 83 dan 90, berharap agar kedua-duanya turut diberikan vaksin, dan difahamkan pihak JKN sedang meneliti permohonan itu.

Sementara itu menurut Suraya, petugas kesihatan di PPV berkenaan sentiasa berusaha membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang seumpama Uncle Pak Chee, dan lain-lain individu (yang layak) termasuk perubahan janji temu, agar lebih ramai lagi yang akan mendapatkan vaksin di negeri ini.

Semalam, Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata antara punca yang menyebabkan kira-kira 9,000 penduduk di Perak tidak hadir menerima suntikan vaksin sebelum ini adalah mereka tidak menerima panggilan di samping masalah pengangkutan, dan pihaknya sedang berusha mencari jalan penyelesaian.

Pada 26 Mei, seramai 9,000 individu di Perak gagal menghadiri janji temu vaksinasi, dengan sebahagian besarnya berusia 60 tahun ke atas, manakala Exco Kesihatan negeri Mohd Akmal Kamarudin berkata sehingga Jumaat lepas, 237,204 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 di Perak.
Loading...