Masjid Ibnu Sina di Titiwangsa musnah dalam kebakaran
Sebuah Masjid Ibnu Sina di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, terbakar pada kira-kira 7 malam hari ini dengan 90 peratus anggaran kemusnahan namun tiada sebarang kemalangan jiwa terlibat. Foto : JBPM Kuala Lumpur
23/03/2023 12:18 AM
KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Kariah Masjid Ibnu Sina di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, tidak sempat menunaikan solat sunat tarawih pertama malam ini, apabila hampir 90 peratus ruangan masjid itu musnah dalam kebakaran kira-kira 7 malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.10 petang, sebelum tiba di tempat kejadian pada 7.17 malam.
“Sebanyak tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Hang Tuah dengan kekuatan 21 anggota, bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Kebakaran melibatkan ruangan solat di dalam masjid dengan angaran kemusnahan sebanyak 90 peratus,” katanya.
Jurucakap itu berkata kebakaran dapat dikawal pada 7.27 malam dan berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 9.36 malam ini.
Semasa kejadian tiada jemaah masjid, manakala punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
-- BERNAMA