Loading...

YDP Agong Permaisuri selamat tiba dari tanah suci

Loading...
Loading...



Agong, Permaisuri selamat tiba dari tanah suci
Bernama
Julai 2, 2023 15:00 MYT

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mengaminkan doa yang dibacakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan selepas selamat kembali ke tanah air dari menunaikan ibadah haji di Kompleks Bunga Raya, hari ini. - Foto BERNAMA

SEPANG: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat kembali ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji.

Pesawat khas membawa Seri Paduka berdua dan delegasi tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 1.10 tengah hari tadi.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang diiringi Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berangkat ke Tanah Suci pada 21 Jun lepas. Keberangkatan tiba Seri Paduka berduan turut disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Istiadat menyambut keberangkatan tiba itu disusuli dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah.
 Menerusi catatan dalam Facebook Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan keizinan-Nya, baginda dan Raja Permaisuri Agong dikurniakan keafiatan untuk menyempurnakan rukun Islam kelima itu dengan lancar.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi atas persiapan rapi dan kejayaan menguruskan kira-kira dua juta jemaah bagi musim haji tahun ini.

Titah penghargaan dan terima kasih itu dizahirkan baginda semasa pertemuan dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi Putera Mohammed bin Salman, di Majlis Jamuan Teh Petang yang dianjurkan Putera Mohammed di Mina pada 29 Jun lepas.

Catatan itu juga memaklumkan Al-Sultan Abdullah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi atas kesudian menerima 31,000 jemaah Malaysia dan tambahan seramai 1,000 lagi untuk mengerjakan haji tahun ini.

"Seri Paduka turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana menaja 300 pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di pelbagai tahap dan bidang pengajian di Arab Saudi," menurut catatan itu.

Al-Sultan Abdullah juga berkenan mempersilakan Putera Mohammed mengadakan kunjungan ke Malaysia.

Seri Paduka turut mendoakan agar seluruh jemaah Malaysia dikurniakan keafiatan sepanjang berada di Tanah Suci dan selamat pulang ke pangkuan keluarga tercinta di tanah air.
-- BERNAMA
Loading...