Loading...

Muhyiddin lepas, bebas pertuduhan guna kedudukan untuk suapan

Loading...
Loading...


Muhyiddin lepas, bebas pertuduhan guna kedudukan untuk suapan

Bernama

Ogos 15, 2023 09:50 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - Astro AWANI/Shahir Omar

Muhyiddin lepas, bebas pertuduhan guna kedudukan untuk suapan

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - Astro AWANI/Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu setelah mendapati keempat-empat pertuduhan tersebut adalah kabur, cacat dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan.

"Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Muhyiddin) untuk membatalkan keempat-empat pertuduhan berkenaan. Dengan ini, pemohon dilepas dan dibebaskan," katanya.



Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti tersebut.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Pada 18 April lepas, Muhyiddin, 76, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, memfailkan notis usul bagi memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lepas selain prosiding kes tersebut di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Muhammad Jamil dalam penghakiman ringkasnya berkata mahkamah mempunyai kuasa sedia ada untuk mengetepikan atau membatalkan pertuduhan serta menggantung pertuduhan secara kekal.

Hakim itu berkata empat pertuduhan terhadap Muhyiddin yang menyatakan suapan bagi sekutunya Bersatu tidak mendedahkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

"Mahkamah mendapati Muhyiddin dituduh dengan suatu kesalahan yang tidak diperuntukkan mengikut undang-undang. Keempat-empat pertuduhan itu cacat kerana tidak mendedahkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

"Pertuduhan yang tidak meletakkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM adalah salah laksana keadilan. Empat kesalahan itu juga tidak mengandungi butir-butir cara kesalahan dilakukan sebagai mana diperuntukkan di bawah Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ)," katanya.

--BERNAMA


Loading...