Loading...

Polis Buru Empat lelaki berpakaian seperti pengawal keselamatan merompak kedai emas di sebuah pusat beli belah di Kajang

Loading...
Loading...
Polis buru empat lelaki rompak kedai emas di Kajang

KAJANG: Pengunjung sebuah kompleks membeli-belah di Kajang berdepan detik cemas apabila empat lelaki bertopeng dan bersenjata merompak sebuah kedai emas dalam bangunan tersebut pada petang Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, empat orang suspek dilihat memakai baju seakan pengawal keselamatan, bertopeng dan bersarung tangan gelap.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Muhamad Nasir Drahman berkata, mereka kemudian masuk ke premis tersebut, memecahkan cermin kaca simpanan emas menggunakan tukul besi dan mengambil emas tersebut.


Menurutnya, semasa kejadian, suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan satu laras senapang ke dalam premis berkenaan.

“Suspek telah melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis, sebelum melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah bangunan.

“Jumlah kerugian masih dalam siasatan dan belum dapat disahkan.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam bangunan dan beberapa orang saksi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati walaupun tidak melibatkan kecederaan mahupun kematian.

“Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berkait kejadian tersebut, boleh berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes,” ujarnya.

Astro Awani

Loading...