Loading...
Loading...
Parti pemerintah Jepun, LDP hilang majoriti dalam pilihan raya mengejut
Agensi
28/10/2024
Shigeru Ishiba menjawab soalan wartawan mengenai keputusan pilihan raya mengejut di ibu pejabat LDP, Tokyo, pada Ahad. - Gambar AP
TOKYO: Gabungan parti politik diketuai oleh Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah Jepun kehilangan majoriti di Parlimen, iaitu keputusan terburuk yang dicapai selama lebih sedekad.
Dalam masa sama, parti pembangkang memperoleh lebih separuh kerusi dalam Dewan Rakyat dalam keputusan pilihan raya mengejut.
Dengan baki 22 kerusi untuk diisytiharkan, LDP dan rakan gabungannya, Komeito yang lebih kecil, memperoleh 208 kerusi berbanding 235 kerusi pembangkang.
Sesebuah parti politik memerlukan majoriti 233 kerusi di Parlimen, Diet, untuk mentadbir secara bersendirian atau tanpa gabuangan.
Keputusan pilihan raya umum itu telah mencetuskan ketidakpastian tentang bagaimana ekonomi keempat terbesar dunia itu akan ditadbir.
Parti pembangkang terbesar, Parti Demokratik Berperlembagaan (CDP) memenangi 143 kerusi, menurut laporan NHK.
Pilihan raya mengejut itu diadakan oleh pemimpin baharu LDP, Shigeru Ishiba, tiga hari selepas beliau dipilih sebagai peneraju parti dan sebelum secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
"Para pengundi telah memberikan kami keputusan yang sukar dan kami perlu menerima keputusan ini dengan rendah hati," katanya kepada NHK.
Ia berlaku selepas beberapa tahun yang bergolak bagi LDP yang menyaksikan "gelombang" skandal, sikap tidak peduli pengundi secara meluas, dan penilaian kelulusan yang paling rendah dalam sejarah.
Parti itu telah melihat penarafan kelulusan di bawah 20 peratus pada awal tahun, berikutan skandal rasuah pengumpulan dana politik.
Namun, parti pembangkang gagal untuk bersatu atau meyakinkan pengundi bahawa mereka adalah pilihan yang berdaya maju untuk mentadbir.
Parti pembangkang utama mempunyai penilaian kelulusan hanya 6.6 peratus sebelum Parlimen dibubarkan.
"Sangat sukar untuk membuat keputusan untuk memilih parti, saya fikir orang ramai semakin hilang minat," kata Miyuki Fujisaki, penyokong LDP yang bekerja dalam sektor rumah penjagaan kepada BBC sebelum pusat mengundi dibuka.
LDP, katanya, mempunyai masalah dengan dakwaan rasuah, "tetapi pembangkang juga tidak menonjol sama sekali."
"Mereka pasti banyak merungut, tetapi ia tidak jelas sama sekali tentang apa yang mereka mahu lakukan," kata pengundi berusia 66 tahun itu lagi.
Walaupun terdapat sikap tidak peduli dalam kalangan rakyat, namun, landskap politik di Jepun bergerak dengan pantas dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Ishiba mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas diundi oleh parti pemerintah berikutan pendahulunya Fumio Kishida - yang telah memegang jawatan itu sejak 2021 - membuat keputusan mengejut untuk berundur pada Ogos.
Tindakan memanggil pilihan raya itu berlaku ketika LDP terdesak untuk memulihkan imejnya yang tercalar di kalangan orang ramai.
Ishiba - ahli politik lama yang sebelum ini berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan menyifatkan hasil pilihan raya itu sebagai "keputusan rakyat."
Beberapa siri skandal telah mencemarkan nama baik parti pemerintah.
Antaranya ialah hubungan parti dengan Gereja Penyatuan yang kontroversi - yang disifatkan oleh pengkritik sebagai "kultus" - dan tahap pengaruhnya terhadap penggubal undang-undang.
Kemudian muncul pendedahan skandal rasuah pembiayaan politik.
Pendakwa raya Jepun telah menyiasat berpuluh-puluh Ahli Parlimen LDP yang dituduh mengaut hasil daripada acara pengumpulan dana politik.
Dakwaan itu - mencecah jutaan dolar - membawa kepada pembubaran puak berpengaruh yang menjadi tulang belakang parti berkenaan.
“Betapa teruknya parti yang memerintah,” kata Michiko Hamada yang menyertai perhimpiunan kempen pembangkang di stesen Urawa, di pinggir Tokyo.
“Itu yang paling saya rasakan. Ia adalah pengelakan cukai dan sama sekali tidak boleh dimaafkan."
Skandal itu dianggap sebagai sangat mengerikan ketika rakyat Jepun bergelut dengan kenaikan harga barang.
Gaji tidak berubah selama tiga dekad - digelar "30 tahun yang hilang" - tetapi harga telah meningkat pada kadar terpantas dalam hampir setengah abad dalam dua tahun lepas.
Bulan ini menyaksikan lebih banyak kenaikan harga pada beribu-ribu produk makanan, serta peruntukan harian lain seperti surat-menyurat, farmaseutikal, elektrik dan gas.
"Saya membayar 10,000 yen atau 20,000 yen (AS$65 - AS$130) lebih untuk makanan setiap bulan (berbanding dulu)," kata Hamada.
"Dan saya tidak membeli barang seperti yang selalunya saya beli sebelum ini. Saya cuba berjimat tetapi kosnya masih lebih tinggi. Barangan seperti buah sangat mahal,” keluhnya.
Dia bukan satu-satunya yang bimbang dengan harga yang tinggi.
Seorang pesara, Chie Shimizu berkata, dia kini terpaksa bekerja sambilan untuk menampung kehidupan.
"Gaji setiap jam kami telah naik sedikit tetapi ia tidak sepadan dengan harga barang," katanya kepada BBC semasa mengambil makanan dari sebuah gerai di stesen Urawa.
"Saya datang ke tempat-tempat seperti ini untuk mencari sesuatu yang lebih murah dan bagus kerana segala-galanya di kedai biasa adalah mahal." - BBC
Loading...