Loading...

Hapus subsidi T15: Rakyat skeptikal keberkesanan hala tuju kerajaan - Kajian

Loading...
Loading...


Hapus subsidi T15: Rakyat skeptikal keberkesanan hala tuju kerajaan - Kajian

Astro Awani

07/12/2024


Kajian oleh penyelidik UTAR mendapati, hanya 26.07 peratus percaya langkah ini dapat memastikan kekayaan diagih secara adil manakala 38.33 peratus tidak menyokong. - Gambar hiasan/BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kebanyakan rakyat Malaysia masih ragu-ragu terhadap keberkesanan rancangan kerajaan untuk menghapuskan subsidi bagi kumpulan pendapatan tertinggi, T15.

Kajian oleh penyelidik Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) mendapati, hanya 26.07 peratus percaya langkah ini dapat memastikan kekayaan diagih secara adil manakala 38.33 peratus tidak menyokong.

Hasil kolaborasi bersama Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP) itu memaklumkan, baki 35.6 peratus daripada 514 responden mahu kerajaan memberi perincian lanjut kerana skeptikal dengan hala tuju berkenaan.

Kajian dilakukan terhadap 66.28 peratus responden yang bekerja turut mengesan beberapa kelemahan dalam sistem klasifikasi pendapatan isi rumah yang diguna pakai di negara ini.

“Sistem berdasarkan Tinjauan Pendapatan Isi Rumah (HIS) ini dianggap tidak mencermin kualiti hidup sebenar rakyat terutama apabila faktor seperti kos sara hidup, saiz isi rumah dan budaya tidak diambil kira.

“Sebagai contoh, kajian menunjukkan bahawa pendapatan isi rumah yang dianggap sebagai T20 di Kuala Lumpur (melebihi RM16,780) adalah tidak realistik memandangkan kos sara hidup jauh lebih tinggi di kawasan bandar,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Kajian ini turut menegaskan bahawa pengkelasan pendapatan sedia ada seperti B40, M40, dan T20 adalah tidak realistik.

“Kajian menunjukkan median pendapatan minimum yang dianggap mencukupi untuk kehidupan wajar di Malaysia ialah RM8,000. Ia jauh lebih tinggi daripada standard sedia ada. Kos sara hidup yang meningkat terutamanya di kawasan bandar menjadi faktor utama,” ujarnya.

Dalam masa sama, kajian ini turut menyeru kerajaan supaya memperkenalkan mekanisme lebih inklusif seperti Perbelanjaan Asas untuk Kehidupan Wajar (PAKW) yang mengambil kira faktor lokasi, budaya dan saiz isi rumah sebelum menghapuskan subsidi T15.

Ia menyimpulkan, langkah sedemikian penting bagi memastikan penghapusan subsidi benar-benar menyasar kumpulan yang tidak memerlukan bantuan tanpa menimbulkan ketidakadilan kepada golongan lain.

Loading...