Loading...
Loading...
Dua lelaki larikan peti besi bernilai RM1.1 juta diberkas - Polis
Bernama
21/01/2025
Polis turut merampas sebuah peti besi serta beberapa barang berharga milik mangsa di bengkel, yang menjadi tempat salah seorang suspek bekerja. - IPD Kota Bharu
KOTA BHARU: Polis menahan dua lelaki tempatan yang terbabit dalam kes pecah rumah dan melarikan peti besi berisi mata wang asing, jam tangan berjenama dan barang kemas dianggarkan bernilai RM1.1 juta di Kampung Paya Rambai, di sini, pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata pihaknya menerima aduan daripada mangsa, seorang wanita berusia lingkungan 60-an, yang pulang ke rumah bersama ahli keluarganya dari Sarawak pada hari kejadian.
Berikutan itu, polis menahan dua suspek berusia sekitar 20-an kelmarin, pada jam 6.15 petang dalam dua serbuan di rumah berasingan di kawasan berkenaan.
"Salah seorang suspek bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel motosikal di Kota Bharu manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rosdi berkata polis turut merampas sebuah peti besi serta beberapa barang berharga milik mangsa di bengkel tersebut.
Katanya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Menurutnya hasil ujian urin mendapati kedua-dua suspek disahkan positif dadah dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Katanya kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
Loading...