Loading...

Bekas juruwang bank didakwa pecah amanah, keluar wang akademi al-Quran tanpa kebenaran

Loading...
Loading...


Bekas juruwang bank didakwa pecah amanah, keluar wang akademi al-Quran tanpa kebenaran

Bernama

20/05/2025


Mohd Abd Rahman Hamzah, 41, didakwa melakukan kesalahan itu dengan membuat transaksi pengeluaran wang berkenaan dari akaun sebuah bank milik Akademi Al-Quran dan Dakwah Ummah tanpa kebenaran pemilik akaun berkenaan. - Gambar hiasan


ALOR SETAR: Seorang bekas juruwang sebuah bank di Padang Terap dekat sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah wang milik pelanggan bank itu berjumlah RM55,000.

Seorang lelaki berusia 41 tahun mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah melibatkan wang pelanggan berjumlah RM55,000 dari akaun Akademi Al-Quran dan Dakwah Ummah.

Dia juga dituduh menggunakan dokumen palsu untuk mengeluarkan wang tersebut, yang dipercayai dilakukan antara April hingga Jun 2022.

Mahkamah membenarkan jaminan RM28,000 dengan seorang penjamin, dan kes akan disebut semula pada 15 Jun.

Mohd Abd Rahman Hamzah, 41, didakwa melakukan kesalahan itu dengan membuat transaksi pengeluaran wang berkenaan dari akaun sebuah bank milik Akademi Al-Quran dan Dakwah Ummah tanpa kebenaran pemilik akaun berkenaan.

Lelaki yang kini bekerja menjual kereta di Sungai Petani secara sambilan itu dituduh melakukan semua perbuatan tersebut di bank berkenaan pada April, Mei dan Jun 2022, mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu 'Borang Wang Keluar Wit 506' bagi jumlah kesemua wang berkenaan atas akaun milik akademi tersebut, yang dia mempunyai sebab untuk percaya dokumen itu adalah palsu, di lokasi dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim N. Priscilla Hemamalini membenarkan lelaki itu diikat jamin RM28,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan dan menetapkan 15 Jun untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vatchira Wong Rui Fern manakala Mohd Abd Rahman tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA
Loading...