Loading...
Loading...
Penunggang motosikal maut ditemukan bersama ratusan peket dadah
Bernama
29/05/2025

Ditemukan 450 peket dadah dipercayai heroin dengan anggaran berat 688.81 gram dan 12 peket dipercayai berisi methamphetamine seberat 13.41 gram. - Sinar Harian
MELAKA: Seorang penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan ditemukan bersama ratusan peket kecil berisi dadah di Lebuh AMJ di Paya Rumput di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata lelaki berusia 22 tahun yang menunggang motosikal dari arah Cheng ke Alor Gajah itu meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 7 pagi tadi.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut di lokasi menemukan 450 peket dadah dipercayai heroin dengan anggaran berat 688.81 gram dan 12 peket dipercayai berisi methamphetamine seberat 13.41 gram.
"Polis menerima laporan pada 7.54 pagi tadi melibatkan kemalangan tiga kenderaan iaitu sebuah motosikal yang ditunggang mangsa berusia 22 tahun, pemandu kereta berusia 48 tahun dan pemandu lori berusia 44 tahun.
"Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang suspek telah melanggar bahagian belakang sebuah kereta Perodua Bezza sebelum motosikal itu hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah lori di laluan sama," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang berada di lokasi kejadian diminta menyalurkan maklumat berkaitan kemalangan itu kepada pegawai penyiasat Insp Ahmad AqiI Yusoff di talian 013-9393747.
-- BERNAMA
Loading...