Loading...
Loading...
PGA rampas tanaman hiasan cuba diseludup ke dalam negara
Bernama
11/05/2025

Nik Ros Azhan berkata pihaknya juga telah menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang merupakan pemandu lori. - Foto fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Batalion 9 (9PGA) berjaya merampas pelbagai tanaman hiasan dipercayai diseludup dari Thailand di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah, Jumaat lepas.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata tanaman itu dikesan selepas pihaknya menahan sebuah lori yang dilihat mencurigakan semasa menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira 4.15 petang di kawasan berkenaan.
"Pemeriksaan ke atas lori tersebut membawa kepada penemuan satu pokok landskap jenis Eugiena, 1,500 pokok di kenali sebagai pokok panjat pagar dan 2,000 pokok Busida dipercayai cuba diseludup masuk ke dalam negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semua tanaman hiasan bersama lori tersebut dianggarkan bernilai RM5.5 juta.
Nik Ros Azhan berkata pihaknya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang merupakan pemandu lori itu selepas dia gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan tanaman berkenaan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
"Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan lanjut," katanya.
-- BERNAMA
Loading...