Loading...
Loading...
Polis buru dua lelaki curi BMW R1300GS
Astro Awani
10/05/2025

Naazron berkata salah seorang suspek dilihat menunggang motosikal jenis Yamaha dan menunda motosikal mangsa keluar dari kawasan kediaman. - Foto fail/IPD Kajang
KUALA LUMPUR: Polis memburu dua lelaki yang terbabit dalam kejadian kecurian sebuah motosikal berkuasa tinggi, BMW R1300GS, di Taming Sari, Cheras, Kajang, pada Khamis lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 46 tahun berhubung kejadian tersebut, jam 8.23 malam, hari yang sama.
"Berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pondok pengawal keselamatan, motosikal milik mangsa telah dilihat dibawa keluar oleh dua lelaki, sekitar jam 5.45 petang.
"Salah seorang suspek dilihat menunggang motosikal jenis Yamaha dan menunda motosikal mangsa keluar dari kawasan kediaman.
"Siasatan awal turut mendapati nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek adalah palsu kerana pemilik asal nombor tersebut telah membuat laporan polis dan mengesahkan motosikal miliknya masih berada dalam simpanan di Terengganu," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Naazron berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan bermotor, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta dikenakan denda.
Polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berdekatan atau terus menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Siti Norhafizah Mat Yusoff di talian 011-54539190.
Loading...