Loading...

Hajiji beri bayangan tarikh bubar DUN diumum selepas Perhimpunan Agung Gagasan Rakyat

Loading...
Loading...


Hajiji beri bayangan tarikh bubar DUN diumum selepas Perhimpunan Agung Gagasan Rakyat

Bernama

15/06/2025


Bagaimanapun, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Presiden Gagasan Rakyat berkata tarikh itu masih belum ditetapkan meskipun terdapat spekulasi ia akan berlaku pada hujung Julai ini atau awal Ogos depan. - Gambar fail/BERNAMA


TUARAN: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memberi bayangan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diumum selepas Perhimpunan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dijadualkan berlangsung pada penghujung Julai ini.

Hajiji Noor beri bayangan tarikh pembubaran DUN Sabah mungkin diumum selepas Perhimpunan Agung Gagasan Rakyat hujung Julai.

GRS bersedia hadapi PRN17 dan keputusan kerjasama parti lain akan diputuskan Majlis Tertinggi GRS.

Hajiji ingatkan ahli Gagasan Rakyat dan GRS bersatu, kuatkan jentera parti serta tidak terpengaruh dengan fitnah pembangkang.

Bagaimanapun, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Presiden Gagasan Rakyat berkata tarikh itu masih belum ditetapkan meskipun terdapat spekulasi ia akan berlaku pada hujung Julai ini atau awal Ogos depan.

"Belum lagi, kita mesyuarat dulu perhimpunan agung pada hujung bulan Julai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman di sini hari ini.

Penggal lima tahun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah terbubar secara automatik pada 11 Nov ini. Pembubaran itu akan membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 (PRN17).

Hajiji turut menegaskan gabungan parti pimpinan beliau yang kini menerajui kerajaan negeri bersedia menghadapi mana-mana parti pada PRN17 dan keputusan untuk bekerjasama dengan parti lain akan ditentukan oleh Ahli Majlis Tertinggi GRS.

Sementara itu, Hajiji berkata Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat kali ini penting memandangkan ia diadakan menjelang PRN17 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

"Jadi, ingatan dan nasihat saya kepada ahli-ahli Gagasan Rakyat dan GRS supaya bersatu hati. Rapatkan barisan, kuatkan jentera parti untuk menghadapi pilihan raya tidak lama lagi," katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, beliau mengingatkan pemimpin dan ahli Gagasan Rakyat serta GRS agar mengambil iktibar daripada situasi politik semasa selain menangkis pembohongan yang disebarkan pembangkang melalui media sosial.

"Kita mesti bijak menilai antara fitnah dan pembohongan dengan apa yang telah dilaksanakan kerajaan. Jangan sekali-kali terpengaruh dengan fitnah dan pembohongan yang dibawa pembangkang.

"Biarlah pembangkang melakukan fitnah tetapi kita ahli Gagasan Rakyat mesti berdiri teguh bersama-sama rakan dalam GRS Plus, khususnya di Sulaman ini," katanya.

-- BERNAMA
Loading...