4 terbunuh nahas pesawat di Pulau Sulawesi, Indonesia
Oktober 20, 2024
JAKARTA: Empat individu maut selepas sebuah pesawat milik syarikat penerbangan tempatan Indonesia, SAM Air, terhempas di wilayah Gorontalo, Pulau Sulawesi, hari ini.
Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Gorontalo, Heriyanto, berkata pesawat jenis PK SMH itu terhempas selepas terputus hubungan dengan pegawai AirNav Makassar.
"Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Djalaluddin Gorontalo pada jam 7.30 pagi, menuju ke Lapangan Terbang Bumi Panua Pohuwato.
"Namun, ia terputus hubungan dan dilaporkan terhempas berhampiran Lapangan Terbang Bumi Panua Pohuwato," katanya dalam kenyataan yang dipetik Xinhua.
Heriyanto berkata, semua empat mangsa yang terdiri daripada juruterbang, pembantu juruterbang, jurutera, dan seorang penumpang ditemui maut.
Katanya, punca nahas bagaimanapun masih dalam siasatan. - BERNAMA-XINHUA