Loading...

AMK kecewa tindakan Rafizi, tegas pertahan kempen bersih, adil

Loading...
Loading...


AMK kecewa tindakan Rafizi, tegas pertahan kempen bersih, adil

Astro Awani

18/05/2025


AMK menegaskan, sepanjang kempen yang dijalankan, tiada sebarang serangan peribadi atau celaan dilemparkan terhadap mana-mana calon, sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.


KUALA LUMPUR: Seramai 86 calon Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat hari ini menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli yang dikatakan 'menyerang' salah seorang calon AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim, dalam siri kempen pemilihan KEADILAN.

Dalam satu kenyataan, kesemua calon AMK itu mengutuk pendekatan negatif yang didakwa digunakan calon Timbalan Presiden KEADILAN itu, yang menurut mereka mencemar semangat keterbukaan dan persaingan sihat yang diamalkan dalam pemilihan parti setakat ini.

"Kenyataan bersama ini menyatakan kekecewaan atas tindakan Rafizi yang dilihat menyerang Muhammad Kamil dengan tohmahan yang negatif dan menjatuhkan, selain acap kali meremeh dan memandang enteng usaha AMK yang kini giat dipersiapkan untuk membina pasukan baru dengan adil, telus dan terbuka.

"Rafizi sewajarnya terus menyatakan hasrat, visi dan misi beliau dalam mencalonkan diri sebagai Timbalan Presiden KEADILAN tanpa menjatuhkan mana-mana pihak, apatah lagi pasukan AMK," jelas mereka.

AMK turut menegaskan, sepanjang kempen yang dijalankan, tiada sebarang serangan peribadi atau celaan dilemparkan terhadap mana-mana calon, sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.

Malah, tambah mereka, gerakan kempen berjalan dengan penuh semangat demokrasi dan mendapat sambutan baik akar umbi tanpa mengira pasukan atau kecenderungan sokongan.

Kenyataan itu turut menegaskan pendirian AMK kekal dengan prinsip “Kita Semua KEADILAN” sehingga tamatnya proses pemilihan parti tahun ini, dan komitmen itu bakal diterjemahkan dalam program Rapat Angkatan Muda Keadilan 2025.

Antara nama yang terlibat dalam kenyataan bersama ini termasuk calon Timbalan Ketua AMK, Izuan Kasim; calon Naib Ketua AMK seperti Taufiq Johari, CM Chiew dan beberapa lagi; serta 49 calon Majlis Pimpinan AMK Pusat.

Loading...