Loading...

APMM tumpas cubaan seludup 425kg minyak masak di Sandakan

Loading...
Loading...


APMM tumpas cubaan seludup 425kg minyak masak di Sandakan

Bernama

17/05/2025


Sebahagian daripada 425 peket minyak masak bersubsidi yang dirampas Maritim Malaysia selepas menemui sebuah bot kargo kecil ditinggalkan berhampiran Kampung Sundang Laut. - Foto Maritim Malaysia


SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup 425 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dalam operasi di perairan berdekatan Kampung Sundang Laut di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata pihaknya yang menjalankan Op Pluto Timur serta Op Tiris 3.0 pada 5.45 petang, mengesan sebuah vesel kargo kecil dalam keadaan mencurigakan dan ditinggalkan.

"Pemeriksaan ke atas vesel terbabit menemukan 25 bungkusan plastik hitam yang mengandungi 425 peket minyak masak bersubsidi dipercayai cuba diseludup keluar tanpa permit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata rampasan vesel dan minyak itu dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, dan APMM tidak akan berkompromi dalam menangani penyeludupan barangan kawalan yang menjejaskan hak rakyat sekali gus mengancam ekonomi negara.

Dalam pada itu, Muhamad Suhairy meminta orang ramai khususnya komuniti maritim menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999.

-- BERNAMA
Loading...